Putatan Kini

Mencabar minda dan aspirasi rakyat Putatan

Arkib bagi Bulan April 2008

Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS)

Posted by putatankini di April 30, 2008

Permohonan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah telah pun ditutup pada 25hb.April 2008 yang lalu. Pada mereka yang telah memohon BKNS, mereka akan menunggu jawapan sehingga 3 bulan daripada tarikh tutup samada mereka mendapat tajaan biasiswa atau tidak. Jika berjaya, jumlah biasiswa yang diluluskan adalah tertakluk kepada budibicara Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS). Siapa yang tahu formula budibicara kelulusan ini amatlah dialu-alukan.

Soalannya, mengapakah pemohon perlu menunggu sehingga 3 bulan untuk jawapan samada mereka mendapat tajaan atau tidak? Tuan-tuan sedia maklum bahawa permohonan BKNS ini adalah dengan membeli borang BKNS dengan membayar RM1.00 setiap borang yang boleh diperolehi daripada JPANS atau Pejabat Daerah. Dalam era ICT ini, Kerajaan Negeri Sabah juga mempunyai rangkaian aplikasi ICT yang terbaik. Cuma jika dibandingkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), JPANS agak jauh ketinggalan. Setelah keputusan SPM diumumkan, JPA dan MARA memaklumkan bahawa pelajar-pelajar lepasan SPM dijemput memohon biasiswa JPA atau MARA melalui online di http://www.jpa.gov.my.

Tahukah anda berapa lama pemohon menunggu? Tidak sampai 2 minggu. Kenapa? Tak percaya?

Tanyalah mereka yang pernah memohon tajaan JPA atau MARA online. Sekurang-kurangnya pemohon tidak ternanti-nanti atau berkecilhati mendapat tahu mereka tidak mendapat tajaan setelah menunggu 3 bulan.

Kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, bila lagi hendak menggunakan teknologi ICT untuk mengurangkan penantian yang belum pasti?

Dikirim dalam Umum | Di tag: , , , , , | 8 Komen »

Bagaimana Kampung Sailan mendapat nama?

Posted by putatankini di April 4, 2008

Terdapat dua versi cerita orang-orang tua dalam perkara ini. Versinya adalah seperti berikut:

Versi 1:

Kawasan berdekatan Kampung Sailan dahulunya adalah kawasan rata yang ditanam dengan pokok getah. Semasa pemerintahan British, mereka mengambil pekerja berbangsa Ceylon daripada negara Ceylon, yang sekarang dikenali sebagai Sri Langka. Pihak British menyediakan tempat tinggal yang akhirnya menjadi perkampungan orang Ceylon. Orang tempatan memanggil mereka orang Sailan. Maka kampung berkenaan dinamakan perkampungan orang Sailan atau Kampung Sailan.

Soalannya, jika cerita ini benar, kemanakah orang-orang Sailan pada masa itu atau adakah masih keturunan orang-orang Sailan jika ada diantara mereka yang berkahwin dengan orang tempatan pada masa itu sebagaimana adanya keturunan bangsa Portugis di perkampungan Portugis di Melaka?

Versi 2:

Kampung Sailan mengambil nama daripada perkataan Sail Land yang mana pada masa itu, pelayar-pelayar kapal singgah untuk membaiki kapal-kapal dan layar (sail) kapal mereka. Oleh kerana kedudukan Kampung Sailan berhampiran dengan kuala Sungai Putatan, maka ada juga benarnya cerita orang-orang tua ini. Juga pada suatu masa dulu, nelayan-nelayan menjual hasil tangkapan mereka tidak jauh daripada kuala Sungai Putatan.

Sesiapa yang tahu benar cerita ini, harapnya dapat memberi komen dalam blog ini.

Dikirim dalam Sejarah | Di tag: , , , | 2 Komen »

Pentingnya mengetahui salasilah keluarga

Posted by putatankini di April 4, 2008

Sebelum mengulas tajuk ini, pernahkah anda terjumpa rakan atau saudara yang anda ketahui asal usul mereka suatu masa dulu tetapi terpisah beberapa tahun kemudian sebelum kembali terjumpa semula tetapi dengan nama lain? Selepas bertemu-balas, akhirnya anda pasti dia adalah orang yang sama.

Atau mungkinkah anda pernah diberitahu oleh mereka yang telah berumur menceritakan asal usul keturunan seseorang tapi enggan mengheboh-hoebohkan kerana bukan urusan peribadi mereka. “Buat apa mahu tahu hal orang?” adalah cakapan yang biasa kita dengar. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia dengan berlakunya perkahwinan campur, tentunya ada keluarga yang tidak kisah dan tidak mahu tahu keturunan masing-masing. Ada juga segelintir yang ingin tahu.

Pada zaman dahulu dan ada sehingga sekarang, dikekalkan keturunan seperti Megat, Puteri, Syed, Syarifah, Wan, Pangeran, Awang, Awangku, Dayang, Dayangku, Raden, dsbnya dikekalkan hingga keturununnya. Dalam masyarakat Cina juga ada yang masih mengekalkannya. Ada juga yang tidak ambil kisah atau ada sebab yang lain, tidak meletakkan gelaran keturunan keluarga di depan nama mereka seperti yang disebutkan. Bila “tidak kisah” berlaku, maka ada juga segelintir orang yang suka menggunakan gelaran berkenaan sebagai satu kemegahan atau “saja-saja” sebab mahu “glamour” atau hendak mendapat keistimewaan tertentu.

Mungkin ada sedikit kekeliruan pada gelaran nama Awang, Dayang, Awangku dan Dayangku. Pada asalnya Awang dan Dayang digunakan pada keturunan Kesultanan Brunei tetapi (kurang pasti bila mula) kemudiannya diperkenalkan Awangku dan Dayangku menggantikan Awang dan Dayang, yang mana Awang dan Dayang kemudiannya menjadi panggilan biasa seperti Encik dan Cik bagi masyarakat Brunei. Kepada mereka yang asalnya bergelar Awang dan Dayang daripada keturunan Kesultanan Brunei, hanya mereka yang mengekalkan atau mengetahui salasilah keluarga sahaja yang tahu bahawa mereka sebenarnya berdarah diraja. Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Kita kena rujuk sejarah Kesultanan Brunei dan Pusat Sejarah Brunei adalah tempat yang pertama anda perlu buat rujukan.

Pernahkah anda terjumpa seseorang seperti berikut, contoh:

1) Seorang lelaki Cina berkahwin dengan seorang perempuan Kadazan. Kebiasaannya, anak mereka akan menggunakan nama Cina tetapi boleh bertukar menjadi nama Kadazan. Apakah motif disebaliknya?

2) Seorang lelaki Cina memeluk Islam dan menggunakan nama Melayu dengan “bin Abdullah” berkahwin dengan seorang perempuan Melayu. Anak mereka menggunakan nama Melayu tetapi cucu mereka menggunakan gelaran “Wan” di hadapan nama mereka. Adakah ini dibolehkan?

3) Seorang anak lelaki biasa diambil sebagai anak angkat oleh seorang Pangeran. Adakah anak lelaki tersebut layak menggunakan nama Pangeran di depan namanya dan seterusnya menamakan anak-anaknya berketurunan Pangeran?

4) Seorang keturunan yang diketahui berbangsa Dusun, setelah memeluk Islam menggunakan nama Melayu Islam tetapi cucu mereka dikatakan berketurunan bangsa Brunei.

Sekarang ini pun ada juga diberitakan individu yang menggunakan gelaran Datuk atau Dato’ yang bukan dilantik oleh DYMM SPB YDP Agong, Sultan atau TYT demi untuk kepentingan sendiri. Kalau ini pun orang mahu tipu, gelaran keturunan pun orang lebih mahu.

Jika ada jabatan kerajaan seperti unit salasilah di jabatan sejarah, dan juga mungkin jabatan kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara atau Pesuruhjaya Sumpah, harus peka kepada penggunaan gelaran keturunan bangsa yang ingin diubah dalam Surat Lahir atau Surat Beranak.

Di negara barat, kelahiran individu direkodkan dan boleh diperolehi melalui internet. Maka terpulanglah kepada individu berkenaan untuk menjejak asal usul keturunan bangsa mereka. Di negara Cina juga terdapat ramai keluarga yang menggunakan gelaran keluarga untuk menggenali keturunan masing-masing.

Bagi yang berugama Islam, mengenali susur galur keluarga atau salasilah keluarga merupakan sunnah Nabi Muhammad S.A.W.

Sehubungan dengan ini, pelajaran anak-anak di sekolah telah pun diperkenalkan subjek seperti Kajian Tempatan agar pelajar diajar mencari untuk mengenali salasilah keluarga. Biasanya pada umur muda ini ketika datuk dan/atau nenek masing-masing masih ada (hidup), eloklah bertanya siapakah nama penuh ayah mereka, nama penuh ibu mereka dan seterusnya bertanya nama penuh moyang mereka jika masih ingat untuk kedua-dua pihak sebelah ayah dan sebelah ibu masing-masing.

Umumnya, seseorang akan mengingati nama sehingga datuk dan nenek mereka. Jika maklumat keluarga ini diperturunkan, bayangkan bahawa anda akan mengetahui keturunan anda sekurang-kurangnya sehingga empat (4) generasi sebelumnya iaitu ANDA bin/binti AYAH bin DATUK bin MOYANG bin ???. Jika setiap seorang mengetahui empat (4) generasi kebelakang, maka seorang anak akan mengetahui sekurang-kurangnya tujuh (7) generasi ke belakang.

Bayangkan jika keturunan anda direkodkan sebagai salasilah. Bagi yang beragama Islam, anda telah pun mengikuti sebahagian daripada sunnah Nabi Muhammad S.A.W.

Setiap seorang ada amanah tidak kira di mana peringkatnya. Jika wujud unit salasilah, harap dipastikan kesahihan keturunan bangsa individu berkenaan sebelum direkodkan. Anda akan dihisab dihari kemudian jika maklumat tersebut salah.

Bagi mereka yang sengaja meletakkan gelaran atau menukar nama untuk mencapai sesuatu kepentingan, sudahkah anda bersedia dihisab di hari kemudian?

Dikirim dalam Sejarah | Di tag: , , , , , , , , , , , | 4 Komen »

Putatan dinaik taraf ke Majlis Daerah?

Posted by putatankini di April 3, 2008

Pekan Putatan telah digazetkan sebagai sebuah daerah kecil gred V mulai 1hb Januari 1997 oleh Kerajaan Negeri Sabah dan telah diumumkan secara rasmi pada 18hb Mac 1997 oleh YAB Datuk Yong Teck Lee, Ketua Menteri Sabah pada masa itu.

Sejak diumumkan sebagai sebuah daerah kecil di bawah seliaan Majlis Daerah Penampang, berbagai pembangunan telah dilaksanakan dan bertambah sibuklah saban hari. Selain rakyat Putatan, kesesakan jalanraya amat dirasai juga oleh mereka yang tinggal di luar kawasan Putatan. Dengan pembesaran lapangan terbang antarabangsa Kota Kinabalu dekat Petagas, maka dijangka kawasan Putatan akan bertambah sibuk.

Soalan terbuka kepada Wakil Rakyat Putatan ialah bila agaknya kesesakan jalan raya dapat diatasi atau dapat dikurangkan?

Dalam kesibukan pembangunan daerah kecil Putatan, telah kedengaran bahawa sudah sampai masanya Daerah Kecil Putatan dinaik taraf sebagai sebuah majlis daerah penuh iaitu Majlis Daerah Putatan. Sehingga desas-desus ini diperolehi, belum diputuskan lagi bila ianya akan dilaksanakan. Sekiranya berita baik ini benar, maka Putatan sebagai sebuah Majlis Daerah penuh amatlah dialu-alukan.

Namun dalam kegembiraan menunggu berita baik ini, mungkin ada juga pihak yang kurang senang atau kurang setuju dengan cadangan menaik taraf Daerah Kecil Putatan. Mungkin juga antara alasannya ialah kerana tidak tahu di manakah sempadan Majlis Daerah Putatan yang akan dicadangkan.

Apa pun alasannya, kita harapkan agar rakyat Putatan sabar menanti.

Dikirim dalam Umum | Di tag: , , | 4 Komen »

Jalanraya di atas kawasan perkuburan?

Posted by putatankini di April 3, 2008

Sesiapa yang melalui kawasan Putatan tentunya akan selalu melalui jalanraya yang melintasi kawasan perkuburan. Terdapat juga cerita-cerita mereka yang pernah melihat sesuatu yang meremang bulu roma terutama sebelah malam Jumaat.

Kenapa? Tak percaya?

Untuk makluman, pada masa dulu kawasan antara jambatan Ketiau dan jambatan Meruntum adalah sebuah tanah perkuburan Islam yang hanya menggunakan batu-batan sebesar bola ragbi sebagai batu nisan. Dan kawasan perkuburan ini sememangnya tidak jauh daripada laut. Kini kawasan perkuburan yang tinggal hanyalah kawasan Makam Al-Marhum Pangeran Anak Untung ibni Al-Marhum Sultan Hussin Kamaluddin, kawasan Makam Al-Marhum Pangeran Kermaraja ibni Al-Marhum Pangeran Anak Untung dan tanah perkuburan Islam Meruntum.

Apakah yang telah berlaku kepada tanah perkuburan yang asal sehingga terbinanya salah satu jalanraya utama di Sabah? Mengikut cerita orang-orang tua, apabila penjajah datang, mereka yang tidak mengetahui kawasan tersebut telah membuang batu-batu nisan berkenaan yang kononnya adalah batu-batan sahaja kerana ianya tidak bernama. Kesilapan juga mungkin berlaku dipihak tertentu kerana ingin membolot kawasan tanah “kosong” yang kononnya tidak bertuan.

Siapakah yang patut disalahkan dalam perkara ini?

Dikirim dalam Sejarah | Di tag: , , , , | Leave a Comment »

Cerita benar di sebalik pembinaan landasan keretapi di Putatan

Posted by putatankini di April 3, 2008

Sesiapa yang belum pernah menaiki satu-satunya keretapi negeri Sabah melintasi Putatan tentunya rasa menyesal. Tahukah anda cerita di sebalik pembinaan landasan keretapi negeri Sabah yang melintasi Putatan? Kepada mereka yang pernah bekerja membina landasan keretapi semasa pemerintahan British sekitar awal tahun 1900an tentunya akan tahu cerita ini.

Mengikut cerita, pembinaan landasan keretapi bermula daripada Weston (?) ke utara hingga ke Jesselton (kemudiannya dinamakan Api-Api, yang sekarangnya dinamakan Kota Kinabalu). Pembinaan landasan keretapi berjalan lancar sehinggalah sampai ke kawasan yang dikata “keramat” dekat Ketiau. Pembinaan landasan tidak dapat diteruskan kerana ada sebuah kuburan yang tidak dapat dialihkan oleh pekerja pada masa itu. Apabila Resident British pada masa itu bertanya kepada pekerja mengapa tidak teruskan pembinaan, pekerja-pekerja berkenaan mengatakan bahawa ada sebuah kubur yang tidak dapat dialihkan atau dipindahkan. Bila Resident British bertanya lanjut, pekerja-pekerja berkenaan mengatakan bahawa kubur itu adalah jenis keramat dan tidak boleh diganggu. Jika diganggu tanpa sebab, takut nanti ada perkara yang tidak disenangi akan berlaku.

Oleh kerana Resident British tidak mempercayai atau memperkecilkan keramat pada masa itu, maka dengan sombongnya beliau menyahut cabaran pekerja dengan membuang air kecil ke atas batu nisan di kuburan tersebut. Mengikut cerita, beberapa hari kemudian, Resident British menghidap kepayahan untuk membuang air kecil. Setelah diperiksa oleh pihak perubatan masa itu, dimaklumkan bahawa bahagian alat sulit Resident British telah bengkak dan semakin membesar. Berbagai usaha perubatan dibuat tetapi bengkak masih tidak susut.

Mengingati peristiwa Resident British membuang air kecil di kuburan, maka pekerja landasan keretapi mencadangkan kepada beliau untuk meminta ampun maaf kepada keramat tersebut dengan menyembelih seekor kambing dekat kuburan tersebut dan dagingnya diagihkan kepada pekerja-pekerja yang menghormati keramat berkenaan. Setelah memohon ampun maaf, akhirnya bengkak di bahagian alat sulitnya susut. Lanjutan daripada pengajaran itu, Resident British mengarahkan pengalihan laluan landasan agar tidak “melanggar” kuburan itu. Setelah dialihkan, pembinaan landasan keretapi berjalan lancar sehinggalah perkhidmatan keretapi dapat diadakan.

Untuk makluman anda, kuburan keramat yang dimaksudkan adalah Makam Al-Marhum Pangeran Anak Untung ibni Al-Marhum Sultan Hussin Kamaluddin yang dikatakan masih berdaulat pada masa itu.

Cerita benar ini tidak dicatat dalam sejarah pembinaan keretapi di Negeri Sabah mahu pun dalam sejarah British kerana mungkin malu. Mengikut sumber, cerita ini ada dicatatkan dalam buku bertajuk “The Making of Railway in North Borneo”. Malangnya, kewujudan buku ini tidak dapat dikesan atau diperolehi.

Dikirim dalam Sejarah, Tempat menarik | Di tag: , , , | 1 Komen »

Hilangnya salah satu pasak bumi di Putatan

Posted by putatankini di April 3, 2008

Pasak bumi merupakan bukit-bukit yang ada di Putatan yang selama ini menyumbang kepada lanskap kawasan Putatan. Diantara pasak bumi yang asal ialah Bukit Pandan-Pandan, Bukit Kalam, Bukit Senganak, Bukit Kuda, Buit Hill, Bukit Maang, Bukit Mantukod dan Bukit Dinawan. Kedua-dua Bukit Mantukod dan Bukit Dinawan telah menjadi Pulau Mantukod dan Pulau Dinawan mengikut peredaran zaman tetapi masih lagi teguh berdiri.

Yang disesalkan ialah ketiadan Bukit Pandan-Pandan (GPS 5°54’21″N 116°2’31″E), yang juga dinamakan Bukit VOR oleh mereka yang tinggal berdekatan dengan bukit tersebut atau yang sengaja membelakangi sejarah. Untuk pengetahuan anda, Bukit VOR yang dimaksudkan hanyalah sebuah tanah tinggi di selatan Kuala Sungai Dumpil yang kini dibina atasnya cawangan rujukan tanda pemetaan (MAP reference point) untuk Jabatan Pemetaan Malaysia. Kini, Bukit Pandan-Pandan telah diratakan kerana tanah bukitnya digunakan untuk menimbus kawasan Terminal 1 Airport Kota Kinabalu dekat Petagas.

Kepada pihak yang bertanggungjawab, seharusnya Bukit Pandan-Pandan tidak perlu diratakan atau dihilangkan kewujudannya kerana sebagai pasak bumi semulajadi, bukit tersebut amat berguna untuk mengurangkan kesan tiupan angin serta kemungkinan sebagai tempat selamat apabila berlakunya air pasang atau tsunami.

Alangkah baiknya jika Bukit Pandan-Pandan dijadikan sebagai satu mercu tanda tempat mini peranginan atau tempat melihat keindahan Kota Kinabalu hingga ke Meruntum dan sedikit daripada Kinarut dari arah laut serta pandangan indah melihat darat yang menghijau dengan Gunung Kinabalu tersergam indah dan teguh.

Sekarang apa sudah jadi? Cuba anda renungkan.

Dikirim dalam Isu semasa | Di tag: , , , , , | 1 Komen »

Terminal 1 Airport Kota Kinabalu di atas Sungai Petagas?

Posted by putatankini di April 3, 2008

Jangan panik! Jika anda seorang pembaca blog yang berusia lanjut, seharusnya anda tidak akan hairan dengan kenyataan ini. Sekiranya anda pembaca blog yang muda, tentunya anda akan merasa tidak logik.

Untuk makluman anda, sebelum wujudnya Terminal 1 Airport Kota Kinabalu dekat Petagas, terminal airport Kota Kinabalu beroperasi daripada lokasi Terminal 2 Airport Kota Kinabalu di Tanjung Aru. Pada masa itu, Sungai Petagas mengalir selepas jambatan Petagas membelok ke kanan sehingga jalanraya masuk ke Terminal 1 Airport Kota Kinabalu dan membelok ke kiri separa bulatan hampir ke kuala Sungai Petagas. Oleh kerana apabila Sungai Petagas mengalami banjir, maka landasan Airport Kota Kinabalu juga akan menerima sedikit limpahan banjir tersebut. Selain daripada itu, perkampungan di sepanjang Sungai Petagas dan Sungai Putatan juga akan terkena banjir.

Untuk mengatasi masalah banjir ini, hulu Sungai Putatan yang bercabang daripada Sungai Petagas dimatikan manakala laluan Sungai Petagas selepas jambatan Petagas dilebarkan dan diluruskan sehingga ke kuala Sungai Petagas. Lama kelamaan, bekas laluan Sungai Petagas akhirnya menjadi seperti tasik ladam ditumbuhi rumput dan tertimbus mengikut usia. Apabila landasan Airport Kota Kinabalu dipanjangkan, bekas tasik ladam ini ditimbus sehingga tiada kesan bekas laluan Sungai Petagas.

Adalah diharapkan agar pembinaan Terminal 1 Airport Kota Kinabalu dibina dengan teguh supaya berat bangunan tersebut tidak tenggelam akhibat tanah lembut di bekas laluan Sungai Petagas.

Dikirim dalam Isu semasa | Di tag: , | Leave a Comment »

Misteri Memorial Tun Mustapha

Posted by putatankini di April 3, 2008

Memorial Tun Mustapha terletak di Kampung Ulu Putatan pada grid GPS 5º53’56”N dan 116º3’36”E di atas sebuah bukit bernama Bukit Kalam yang juga adalah antara tanah perkuburan orang-orang Islam Putatan.

Umum mengetahui bahawa Allahyarham Tun Datu Hj Mustapha bin Datu Harun adalah pengasas parti USNO, TYT Sabah yang pertama dan Ketua Menteri yang kedua. Terdapat banyak kisah sejarah mengenai beliau dan banyak juga kisah yang agak menarik mengenainya.

Dalam banyak tempat tanah perkuburan di Sabah, mengapakah tanah perkuburan Islam Putatan di Bukit Kalam menjadi tempat persemadian Allahyarham Tun Mustapha? Sedikit yang diketahui bahawa Bukit Kalam adalah salah satu kubu pertahanan yang digunakan oleh Paduka Mat Salleh dalam serangan ke atas tentera British di Pulau Gaya. Semasa serangan hebat tentera British di Pulau Gaya, Paduka Mat Salleh berhijrah di antara Bukit Kalam dan Pulau Gaya untuk mengatur serangan selanjutnya, sehinggalah beliau mengundur diri dari Pulau Gaya kembali semula ke kubu beliau di Bukit Kalam.

Yang tidak tercatit dalam sejarah ialah, semasa beliau berada di Bukit Kalam, beliau dibantu oleh Pangeran Ahmad bin Pangeran Daud yang memerintah Tanah Tulin Dumpil Meruntum (TTDM) pada masa itu. Pihak British yang tidak mempunyai kuasa ke atas TTDM (kerana tidak pernah disewa atau dipajak kepada British) tidak boleh berbuat apa-apa kepada Paduka Mat Salleh yang kemudiannya berhijrah ke Pendalaman Sabah setelah berehat seketika dan pulih daripada kecederaan. Selain kubu di Bukit Kalam, Bukit Mantukod (yang sekarang ini dinamakan Pulau Mantukod) juga merupakan antara kubu kuat TTDM pada masa itu.

Apakah kaitan Allahyarham Tun Mustapha dan Paduka Mat Salleh? Daripada sumber cerita orang tua-tua, kononnya Allahyarham Tun Mustapha adalah anak kepada Paduka Mat Salleh. Yang bernama Datu Harun itu adalah ayah angkatnya sahaja yang di”BIN”kan untuk mengaburi pihak British dan pihak musuhnya agar keturunan Paduka Mat Salleh terus hidup sekiranya Paduka Mat Salleh ditewaskan atau dibunuh.

Apakah benar cerita orang tua-tua ini? Hanya melalui ujian DNA sahaja soalan ini boleh terjawab. Masalahnya, di manakah jenazah sebenar Paduka Mat Salleh dikebumikan? Adakah jenazah sebenar Paduka Mat Salleh dikebumikan di Bukit Kalam tanpa tanda?

Dikirim dalam Tempat menarik | Di tag: , , , | Leave a Comment »

Menjejak Sejarah Kedatangan Islam ke Pantai Barat Sabah

Posted by putatankini di April 3, 2008

Terdapat banyak pintu masuk kedatangan Islam di negeri Sabah. Diantaranya ialah melalui Kuala Sungai Dumpil yang terletak pada grid GPS 5º54’0”N dan 116º2’5”E.

Kenapa? Tak percaya?

Tercatit dalam sejarah Sabah bahawa Islam tiba di Pantai Barat Sabah pada awal tahun 1900an. Namun ada beberapa masjid yang telah dibina pada awal tahun 1800an. Diantaranya ialah Masjid Kampung Ulu Putatan yang dibina sekitar awal tahun 1800an yang juga antara masjid tertua yang masih wujud di Putatan. Samada Masjid Kampung Ulu Putatan ini adalah yang tertua di Sabah berbanding dengan Masjid Hasabollah at-Tahiri di Sandakan yang dibina pada lewat tahun 1800an, hanya ujian ”carbon dating” sahaja yang boleh mengesahkan usianya.

Apakah kaitan Masjid Kampung Ulu Putatan dan Kuala Sungai Dumpil?

Mengikut ceritanya, pada awal tahun 1730an seorang pemuda bernama ”Dumpil” bersama rakannya bernama Qutub tiba daripada Brunei telah sampai ke sebuah kuala sungai (Sungai Dumpil) dan mendapati kawasan tersebut amat hijau dan kurang berpenghuni. Setelah mendayung mengikut sungai, beliau tiba di Bukit Kalam, Putatan untuk persinggahan. Sungai yang dilalui ini bertemu dengan Sungai Putatan di belakang bukit tersebut. Oleh kerana kedua-dua sungai tersebut datang daripada satu punca sungai daripada Gunung Bongkok, maka beliau menyusur mengikut arus keluar Sungai Putatan dan mendapati sebuah kawasan lapang tidak jauh daripada Bukit Kalam yang sesuai dengan tanaman seperti bersawah padi. Kawasan tersebut sekarang dikenali sebagai Kampung Ulu Putatan dan menjadi lokasi yang sesuai untuk mendirikan perkampungan.

Siapakah pemuda bernama ”Dumpil” tersebut? Mengikut cerita, beliaulah orang pertama bergelar diri sebagai Raja Dumpil di Sabah selain daripada Kesultanan Brunei pada masa itu iaitu Sultan Hussin Kamaluddin. Mengikut cerita, Sultan Hussin Kamaluddin pernah datang ke Sabah semasa pemerintahannya setelah mendengar khabar bahawa ada seorang Raja di Sabah yang memerintah sebuah kawasan walaupun Sabah ketika itu berada di bawah Kesultanan Brunei. Setelah menyamar diri, didapati bahawa orang yang bernama Raja Dumpil itu adalah anaknya sendiri iaitu Pangeran Anak Untung. Sultan Hussin Kamaluddin kemudiannya kembali ke Brunei tanpa ragu.

Makam Allahyarham Pangeran Anak Untung ibni Al-Marhum Sultan Hussin Kamaluddin berada di lokasi grid GPS 5º52’45”N dan 116º3’1”E adalah bukti sejarah kedatangan Islam di Putatan sekitar awal 1730an.

Sebagai rekod, rakan Pangeran Anak Untung iaitu Qutub atau bergelar Pendekar Qutub, disemadikan di Bukit Mantukod (sekarang dipanggil Pulau Mantukod).

Kuala sungai yang tidak dikenali pada masa kedatangan Pangeran Anak Untung juga telah dinamakan sebagai Kuala Sungai Dumpil. Peta awal British lewat tahun 1800an menunjukkan sebuah tempat bernama Dumpil Point wujud dalam peta Sabah pada masa itu.

Pengkaji sejarah kedatangan Islam ke Sabah amat dialu-alukan untuk mengesahkan kesahihan maklumat ini untuk menjawab bila sebenarnya kedatangan Islam di Pantai Barat Sabah.

Dikirim dalam Tempat menarik | Di tag: , , , | 3 Komen »

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.