Putatan Kini

Mencabar minda dan aspirasi rakyat Putatan

Arkib bagi Bulan Mei 2008

Cerita benar di sebalik pembinaan landasan keretapi di Putatan (2)

Posted by putatankini di Mei 24, 2008

Lanjutan daripada kisah benar di sebalik pembinaan landasan keretapi di Putatan, berikut adalah tambahan kepada cerita tersebut mengikut sumber yang diperolehi Putatan Kini.

Telah diceritakan orang-orang tua bahawa mandor yang menyelia pekerja-pekerja landasan keretapi di situ bernama En.Perdi yang berbangsa Jawa. Dia amat menghormati setiap kisah-kisah tempatan di sepanjang landasan keretapi pada masa itu dan selalu menasihati pekerja-pekerja bawahannya untuk tidak membuat perkara-perkara yang melanggar pantang-larang.

Maka tersebutlah kisah pembinaan landasan keretapi dekat Makam Al-Marhum Pangeran Anak Untung ibni Al-Marhum Sultan Hussin Kamaluddin, diantara ceritanya seperti berikut:

Dahulunya, atap makam tersebut tertutup berbanding keadaannya sekarang iaitu agak terbuka di bahagian tengahnya. Semasa hujan turun, pekerja-pekerja berkenaan akan berteduh di bawah pokok-pokok yang rendang berdekatan dengan makam tersebut. Salah seorang pekerja berbangsa Cina, ingin berteduh di bawah atap tersebut walaupun ditegah oleh En.Perdi untuk tidak meneruskan niatnya. Kata pekerja tersebut tidak ada apa-apa yang perlu ditakuti kerana dia sudah biasa duduk dekat kubur yang beratap. En.Perdi mengatakan bahawa kubur ini bukan sebarangan kubur dan tidak boleh angkuh atau sombong. Pekerja tersebut tidak mengendahkan nasihat En.Perdi sehinggalah hujan teduh. Bila pekerja berkenaan pulang ke rumahnya, beliau merasa sakit di bahagian duburnya dan didapati keadaan “isi dubur”nya terkeluar bergantung.

Beliau kemudiannya meminta dirawat kesakitannya tetapi setiap kali ia dirawat, “isi dubur”nya bertambah panjang gantungannya. Teringat akan nasihat En.Perdi tempohari kerana berteduh di makam tersebut semasa hujan, beliau kemudiannya kembali ke makam tersebut memohon maaf. Apabila kembali semula ke rumahnya, beliau dapati “isi dubur”nya sudah susut dan kembali ke asalnya.

Suatu hari, Ketua Penyelia Penyelenggaraan Landasan Keretapi yang lebih dikenali sebagai Tuan Kudung pada masa itu, ingin membuat rondaan penyelenggaraan landasan keretapi mulai daripada Kota Kinabalu. Beliau telah dinasihatkan agar berhati-hati oleh En.Perdi apabila tiba dekat Makam Al-Marhum Pangeran Anak Untung ibni Al-Marhum Sultan Hussin Kamaluddin supaya tidak melanggar apa-apa pantang larang. Tuan Kudung menaiki trolinya seorangan dan bergerak ke arah selatan.

Bila menghampiri makam tersebut, beliau dapati banyak burung-burung terkukur di atas pokok-pokok dan ada juga yang hinggap di atas batu nisan kubur-kubur di situ. Beliau memilih untuk menembak salah satu burung terkukur yang hinggap di atas batu nisan makam tersebut. Yang peliknya, senapang yang digunakan untuk menembak gagal berfungsi. Sebaliknya, bila beliau menembak ke burung-burung terkukur di atas pokok, senapang tersebut berfungsi. Bila diacukan senapangnya semula ke arah burung terkukur di atas batu nisan di makam tersebut, sekali lagi senapang tersebut gagal berfungsi.

Tuan Kudung kemudiannya tidak meneruskan rondaannya. Sebaliknya beliau terus balik ke pejabat dan menceritakan kepada En.Perdi. Diantara ceritanya ialah jari-jari tangannya terasa kebas bila hendak menembak burung terkukur di atas batu nisan dan senapang gagal berfungsi. Jari-jari Tuan Kudung masih terasa kebas sehingga kelihatan hendak reput. Keadaan tersebut bertambah teruk apabila ibu jari tangan kanannya terlalu reput sehingga kudung. Jari-jarinya yang lain masih sakit dan kelihat bertambah reput.

Melihat keadaan demikian, En.Perdi menasihatkan agar Tuan Kudung pergi semula ke makam tersebut untuk memohon maaf. Tuan Kudung berbuat demikian seperti yang dinasihatkan dan yang peliknya, kebas di jari-jarinya yang belum kudung kembali sihat dan tidak reput.

Sehingga hari ini Makam Al-Marhum Pangeran Anak Untung ibni Al-Marhum Sultan Hussin Kamaluddin tidak boleh dipermainkan oleh mana-mana pihak yang ingin mencuba keramat atau nasibnya.

Sebagaimana ayahandanya Sultan Hussin Kamaluddin Sultan Brunei Ke-16 yang Marhum di Luba, Brunei yang terkenal dengan keramatnya seperti menukar buah ngirih ke buah pitabu, Pangeran Anak Untung juga terkenal dengan keramatnya yang tersendiri.

Masih tidak percaya atau anda ingin mencuba? Tanyalah pekerja-pekerja Keretapi Negeri Sabah atau kampung-kampung di sekitar Dumpil Meruntum untuk kesahihan cerita ini.

Dikirim dalam Sejarah | Di tag: , , , , , , , , , , , | 2 Komen »

Bagaimana Api-Api mendapat nama?

Posted by putatankini di Mei 24, 2008

Sekiranya anda buta sejarah, bandaraya Kota Kinabalu dahulu dinamakan Api-Api. Kemudiannya ditukar dengan nama Jesselton sempena nama seorang pembesar British iaitu Sir Charles Jessel. Akhir sekali nama Jesselton ditukar dengan nama Kota Kinabalu. Sehingga kini, masih ada orang-orang tua berbagai bangsa mengenali Kota Kinabalu dengan nama Api-Api.

Tahukah anda bagaimana Api-Api mendapat nama?

Lokasi asal Api-Api terletak di Sembulan tempat bangunan Tabung Haji sekarang. Ketika Sir Charles Jessel mula sampai di Api-Api, beliau ada bertanya penduduk tempatan mengapa tempat itu dinamakan Api-Api? Penduduk berkenaan berkata tempat itu banyak ditumbuhi dengan pokok-pokok api dan pokok-pokok papat. Oleh kerana Sir Charles Jessel tidak dapat mengenali yang mana satu pokok api dan pokok papat, maka penduduk pada masa itu meminta beliau datang semula pada waktu malam.

Apabila Sir Charles Jessel kembali semula ke tempat itu, beliau mendapati banyak serangga jenis kelip-kelip (kunang-kunang) menyinari pokok-pokok disitu. Yang peliknya, kelip-kelip ini suka hinggap di pokok-pokok api berbanding pokok-pokok papat. Bila melihat keadaan demikian, Sir Charles Jessel kemudian menyebut “api… api…” dan menamakan tempat itu sebagai Api-Api kerana senang bagi penduduk di situ merujuk kepada Sir Charles Jessel dengan nama Api-Api.

Sehingga suatu masa berlalu, Sir Charles Jessel tidak berpuashati dengan perkembangan tempat itu, lalu perumahan dirobohkan setelah satu perumahan baru dibina ke utara sedikit berdekatan dengan jam Jesselton. Kawasan ini kemudiannya dinamakan Jesselton yang kemudiannya dinamakan Kota Kinabalu sehingga hari ini.

Dikirim dalam Sejarah | Di tag: , , , , , , , , , | Leave a Comment »

Bagaimana Tanjung Aru mendapat nama?

Posted by putatankini di Mei 24, 2008

Umum sudah mengetahui bahawa Pekan Tanjung Aru terletak hampir dengan sebuah tanjung dan banyak pokok-pokok aru tumbuh berhampiran dengan tepi pantainya.

Tahukah anda bahawa orang-orang tua dahulunya memanggil tempat ini “Torong gowu” atau “Torong gou” yang berasal daripada bahasa Bajau yang bermaksud “hujung aru”? Ini adalah kerana Tanjung Aru pada masa itu terletak di penghujung jalan dekat pantai yang banyak ditumbuhi pokok-pokok aru.

Sekiranya anda terjumpa seorang menaiki bas mini atau teksi, dan menyatakan bahawa dia ingin ke Torong gowu, anda bolehlah menganggap penumpang tersebut berasal atau tinggal di Torong gowu atau sekarang lebih dikenali sebagai pantai Tanjung Aru.

Lokasi asal ini kemudiannya berpindah ke Simpang Empat atau Simpang Ampat yang sekarang ini menjadi Pekan Tanjung Aru. Tempat bernama Simpang Empat dahulunya adalah sebuah simpang empat sebelum adanya bulatan di Pekan Tanjung Aru. Salah satunya jalan tersebut melintasi lapangan terbang Kota Kinabalu pada masa itu sebelum lapangan terbang ini dipanjangkan yang menyebabkan jalan ini kemudiannya ditutup. Ianya digantikan dengan jalanraya besar sekarang yang letaknya tidak jauh daripada janakuasa letrik Tanjung Aru. Untuk makluman anda, lapangan terbang Kota Kinabalu yang dahulu terletak di Tanjung Aru yang kini menjadi tempat Penerbangan Air Asia berlepas.

Dikirim dalam Sejarah | Di tag: | 2 Komen »

Bagaimana Buit Hill mendapat nama?

Posted by putatankini di Mei 24, 2008

Sekiranya anda hendak pergi melawat ke Monsopiad Cultural Village daripada Pekan  Putatan, anda akan menjumpai sebuah bukit bernama Buit Hill selepas Bukit Kalam (iaitu tempat Memorial Tun Mustapha). Di atas bukit inilah terletaknya Sekolah Rendah Buit Hill (GPS 5°53’54″N dan 116°4’1″E).

Tahukah anda bagaimana Buit Hill mendapat namanya?

Perkataan “Buit” berasal daripada bahasa Dusun yang bermaksud pokok buit atau “boit”. Pokok buit adalah sejenis pokok palma yang tumbuh dengan banyaknya di Buit Hill suatu ketika dulu. Pokok buit ini banyak ditebang untuk mengambil umbutnya dibuat ulam. Kurang pasti samada pokok buit ini boleh ditanam atau tumbuh dengan sendirinya.

Putatan Kini ingin mendapat komen daripada penduduk yang mendiami sekitar Buit Hill atau Kampung Terawi mengenai asal usul bukit ini.

Dikirim dalam Sejarah | Di tag: , , , , , | Leave a Comment »

Bagaimana Kampung Ketiau mendapat nama?

Posted by putatankini di Mei 24, 2008

Pernahkah anda terfikir bagaimana Kampung Ketiau mendapat nama? Tentunya ramai yang tidak tahu kerana kewujudannya pada suatu ketika dahulu hampir sama dengan Pulau Duyung di Terengganu.

Nama Ketiau berasal daripada pokok-pokok ketiau yang sekeluarga dengan pokok-pokok nyatoh. Tinggi pokoknya antara 16 meter hingga 22 meter. Manakala ukurlilitnya antara 1.6 meter hingga 2.2 meter. Pokok-pokok ketiau tumbuh dengan banyaknya di kawasan Kampung Ketiau suatu masa dahulu tetapi telah pupus kerana penduduknya yang agak rakus sehingga tidak meninggalkan apa-apa pokok untuk generasi hari ini. Pokok-pokok ketiau banyak ditebang untuk membuat kapal, bot atai sampan kerana ianya keras dan tahan air.

Ramai penduduk Kampung Ketiau mencari rezeki sebagai nelayan atau mengambil upah sebagai pembuat kapal, bot atau sampan.

Manakala buah ketiau yang berbetuk bujur, dipecahkan dan diproses untuk menghasilkan minyak ketiau sebagai pengganti minyak kelapa atau minyak masak umumnya.

Masih tidak percaya dengan cerita ini? Tanyalah orang-orang tua anda yang mungkin sekarang berumur sekurang-kurangnya 80 tahun yang mendapat cerita ini daripada orang-orang tua mereka.

Mungkin juga pihak Jabatan Perhutanan, atau yang arif mengenai tumbuh-tumbuhan, boleh membantu mengesahkan kewujudan pokok-pokok ketiau.

Dikirim dalam Sejarah | Di tag: , , , | Leave a Comment »

Mengenali Pokok Putat

Posted by putatankini di Mei 24, 2008

Terlebih dahulu Putatan Kini ingin mengucapkan terima kasih kepada Rampaiseri kerana mengizinkan artikel dalam blognya untuk dipaparkan dalam Putatan Kini khasnya rakyat Putatan untuk mengenali dengan lebih dekat akan pokok putat ini.

Mengikut maklumat yang diperolehi, pokok putat boleh diproses sebagai ubat cacar air, gatal dan resdung.

Berbeza dengan ubat-ubatan farmasi yang mana setiap jenis selalunya hanya digunakan untuk mengubati penyakit tertentu, kebanyakan pokok-pokok herba boleh menjadi penawar kepada banyak penyakit.

Cara penggunaan atau perubatan menggunakan pokok-pokok herba boleh disesuaikan mengikut keperluan dan keserasian pesakit serta jenis-jenis penyakit yang dihidapi.

Misalnya pokok putat mempunyai kelebihan kerana pucuk, daun matang, buah dan kulit batangnya masing-masing ada khasiat tersendiri.

Pucuknya boleh menjaga dan memulihara kulit, buahnya untuk menyembuhkan atau mengurangkan gatal-gatal manakala daunnya untuk mengubati cacar air dan kulit batangnya pula bagi mengurangkan komplikasi resdung.

Bagaimanapun, pokok putat atau nama saintifiknya Barringtonia Racemosa agak sukar ditemui kecuali di lembah-lembah, tepi sungai dan kawasan tanah lembap.

Pegawai Pusat Sumber Genetik Tumbuhan, Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM), En.Tajuddin Abdul Manap memberitahu, ulam pucuk putat mampu memulihara kulit daripada penyakit gatal.

Buahnya pula yang mempunyai rasa kelat perlu dikopek dan dihiris-hiris sebelum dimakan begitu saja atau dibuat sambal.

“Buah putat ini juga mencegah serangan gatal-gatal di samping boleh mengubati beberapa penyakit kulit lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kata beliau, untuk mendapatkan khasiat daun putat, lima atau enam keping daun perlu ditumbuk bersama-sama beras terlebih dahulu sebelum dipupuk atau disapu pada bahagian yang terkena cacar air.

“Ia perlu diamalkan beberapa kali setiap hari bagi mempercepatkan tempoh matang atau `masak’ cacar air di samping mengelakkan ia merebak ke seluruh badan,” ujarnya.

Sementara itu, En.Tajuddin menambah, kulit batang putat perlu dikopek dalam ukuran sebesar kotak rokok dan kemudian dijemur sehingga kering sebelum dibakar.

“Kulit pokok ini perlu dibakar sedikit demi sedikit dan pesakit resdung kemudian bolehlah menyedut asap daripada kulit putat yang dibakar itu sehingga mereka merasakan hendak terbersin.

“Dengan menyedut asap daripada kulit putat untuk beberapa ketika, pesakit resdung akan merasakan air lendir keluar dari hidung mereka,” jelasnya.

Dikirim dalam Umum | Di tag: , , , , | 2 Komen »

Lokasi asal Pejabat Daerah Putatan di Kampung Lok Bonu

Posted by putatankini di Mei 17, 2008

Terdapat banyak versi cerita di mana sebenarnya lokasi asal Pejabat Daerah Putatan. Mengikut cerita orang-orang tua, lokasi asalnya ialah di Kampung Lok Bonu iaitu di seberang Sungai Dumpil. Seperti yang dicatatkan dalam Putatan Kini, Kuala Sungai Dumpil bermula pada grid GPS 5º54’0”N dan 116º2’5”E hingga ke puncanya bertembung dengan Sungai Putatan berhampiran Bukit Kalam (GPS 5º53’56”N dan 116º3’36”E).

Lokasi asal Pejabat Daerah Putatan terletak pada grid GPS 5º54’33″N 116º3’17″E dalam kawasan tanah kepunyaan Pengiran Muda Damit Tajuddin bin Pengiran Muda Hashim berhampiran dengan Sungai Dumpil di Kampung Lok Bonu. Mengikut sejarah, kawasan tanah Pengiran Muda Damit Tajuddin ini bersempadan dengan Tanah Tulen Dumpil Meruntum kepunyaan Pangeran Anak Untung ibni Al-Marhum Sultan Hussin Kamaluddin Sultan Brunei Ke-16.

Keadaan Kampung Lok Bonu pada masa dulu lebih kurang macam keadaan Kampung Hulu Putatan dan Kampung Hulu Seberang Putatan yang mana Sungai Putatan mengalir di antara keduanya. Sungai Dumpil pula mengalir dalam Kampung Lok Bonu yang mana sebahagian Kampung Lok Bonu terletak dalam kawasan Tanah Tulen Dumpil Meruntum, manakala yang sebahagian lagi terletak dalam tanah kepunyaan Pengiran Muda Damit Tajuddin. Semasa pihak British melalui North Borneo Chartered Company mengambil alih tanah-tanah di Sabah termasuk tanah kepunyaan Pengiran Muda Damit Tajuddin, pentadbiran daerah Putatan di Kampung Lok Bonu juga diambil alih oleh pihak British yang akhirnya menamakan kawasan pentadbiran Putatan sebagai Putat Town. Sebahagian Kampung Lok Bonu yang terletak di bawah pemerintahan Tanah Tulen Dumpil Meruntum tidak diambil alih oleh pihak British.

Sehingga kini, tiada dokumen disimpan oleh Arkib Negeri Sabah, Arkib Negara Malaysia atau pun National Archives di United Kingdom yang boleh menunjukkan bukti bahawa Tanah Tulen Dumpil Meruntum telah dipajakgadai, disewa atau sebagainya kepada pihak British atau pun kerajaan Borneo pada masa itu. Oleh yang demikian, Tanah Tulen Dumpil Meruntum masih berada dalam keadaan kekal selagi adanya bulan, bintang dan matahari.

Kawasan Kampung Lok Bonu pada masa itu memang banyak ditumbuhi dengan pokok-pokok Putat yang kini kian pupus. Mungkin juga ada kebenaran dalam penamaan Putatan berasal daripada panggilan Putat Town oleh pihak British. Pekan Putatan di lokasi sekarang bukanlah berada di lokasi asalnya. Situasi ini sama dengan lokasi pekan Tanjung Aru yang mana nama asalnya ialah Simpang Ampat atau Simpang Empat, manakala lokasi asal Tanjung Aru sebenarnya terletak di hujung jalan berhampiran dengan laut (sekarang dipanggil Tanjung Aru Baru) dan kawasan Kelab Golf Tanjung Aru.

Jika benar cerita Kampung Lok Bonu sebagai lokasi asal Pejabat Daerah Putatan, maka apakah nama asal Pekan Putatan yang ada wujud pada masa ini?

Sesiapa yang ada ceritanya, amatlah diharapkan dapat memberi komen kepada cerita ini.

Dikirim dalam Sejarah | Di tag: , , , , , , , , , , , , , , , , , | Leave a Comment »

Berjalan itik sebagai tanda hormat

Posted by putatankini di Mei 4, 2008

Pelik tetapi benar dan cerita ini tiada direkodkan dalam Arkib Sabah. Kalau anda bertanya kepada orang-orang tua di Kampung Meruntum atau kawasan kampung sekitarnya, cubalah minta ceritakan kisah berjalan itik.

Mengikut cerita, kediaman rasmi Pemerintah Tanah Tulen Dumpil Meruntum (TTDM) pada masa itu terletak dekat Bukit Sakur, yang mana sekarang ini adalah antara gudang simpanan peluru lama Kem Lokawi dan blok rumah terakhir berhampiran Kampung Lambising. Rakyat TTDM pada masa itu mengetahui bahawa pemerintahnya sangat berdaulat dan perlu dihormati.

Ceritanya hampir sama dan lebihkurang begini adabnya. Sekiranya seseorang lalu di depan kawasan kediaman rasmi Pemerintah Tanah Tulen Dumpil Meruntum, anda perlu melakukan seperti berikut sepanjang melintasinya lebihkurang 100 meter:

  • Sekiranya anda menunggang kuda atau kerbau, anda mesti turun daripada kuda atau kerbau dan berjalan kaki bersama kuda atau kerbau anda.
  • Sekiranya anda berjalan kaki memakai payung, anda perlu menutup payung tersebut dan tidak menggunakannya.
  • Sekiranya anda berjalan kaki tanpa payung, maka anda dikehendaki berjalan seperti itik.

Pada pendapat penulis, jika diberi pilihan, sekiranya anda tiada ternakan kuda atau kerbau sebagai “kenderaan” anda, maka eloklah membawa payung. Sekurang-kurangnya anda tidak perlu berjalan itik. Juga, pada pendapat penulis, jangan berjalan berpayung ketika hujan kerana anda akan basah juga.

Mengikut cerita lagi, penunggang kuda ini datangnya daripada daerah Kota Belud yang ingin ke selatan melintasi TTDM, manakala cerita penunggang kerbau ini datangnya daripada sebelah Kinarut yang ingin berurusan sawah di kawasan TTDM.

Sekiranya anda ada versi lain daripada cerita di atas atau cerita yang hampir tepat, komen anda amat diperlukan untuk dikongsi sama.

Dikirim dalam Sejarah | Di tag: , , , , , , , | 5 Komen »

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.