Berjalan itik sebagai tanda hormat
Posted by putatankini di Mei 4, 2008
Pelik tetapi benar dan cerita ini tiada direkodkan dalam Arkib Sabah. Kalau anda bertanya kepada orang-orang tua di Kampung Meruntum atau kawasan kampung sekitarnya, cubalah minta ceritakan kisah berjalan itik.
Mengikut cerita, kediaman rasmi Pemerintah Tanah Tulen Dumpil Meruntum (TTDM) pada masa itu terletak dekat Bukit Sakur, yang mana sekarang ini adalah antara gudang simpanan peluru lama Kem Lokawi dan blok rumah terakhir berhampiran Kampung Lambising. Rakyat TTDM pada masa itu mengetahui bahawa pemerintahnya sangat berdaulat dan perlu dihormati.
Ceritanya hampir sama dan lebihkurang begini adabnya. Sekiranya seseorang lalu di depan kawasan kediaman rasmi Pemerintah Tanah Tulen Dumpil Meruntum, anda perlu melakukan seperti berikut sepanjang melintasinya lebihkurang 100 meter:
- Sekiranya anda menunggang kuda atau kerbau, anda mesti turun daripada kuda atau kerbau dan berjalan kaki bersama kuda atau kerbau anda.
- Sekiranya anda berjalan kaki memakai payung, anda perlu menutup payung tersebut dan tidak menggunakannya.
- Sekiranya anda berjalan kaki tanpa payung, maka anda dikehendaki berjalan seperti itik.
Pada pendapat penulis, jika diberi pilihan, sekiranya anda tiada ternakan kuda atau kerbau sebagai “kenderaan” anda, maka eloklah membawa payung. Sekurang-kurangnya anda tidak perlu berjalan itik. Juga, pada pendapat penulis, jangan berjalan berpayung ketika hujan kerana anda akan basah juga.
Mengikut cerita lagi, penunggang kuda ini datangnya daripada daerah Kota Belud yang ingin ke selatan melintasi TTDM, manakala cerita penunggang kerbau ini datangnya daripada sebelah Kinarut yang ingin berurusan sawah di kawasan TTDM.
Sekiranya anda ada versi lain daripada cerita di atas atau cerita yang hampir tepat, komen anda amat diperlukan untuk dikongsi sama.

Ag.Semaun berkata
Saya ada mendengar cerita orang-orang tua ni. Lebih kurang macam tulah ceritanya. Mengikut cerita, pemerintah pada masa itu ialah Pangeran Daud ibni Almarhum Pangeran Kermaraja dan berlanjutan sehingga anaknya Pangeran Ahmad.
seri berkata
salam putatankini..
terimakasih kerana sudi melawat blog saya. Silakan utk copy paste apa saja info dalam blog saya yer..
Memang tujuan utk berkongsi bersama dengan sesiapa pun yg memerlukan.
terimakasih.
putatankini berkata
Terima kasih kerana sudi melawat blog Puatan Kini.
Putera Rakyat berkata
Cerita ini luas diperkatakan daripada Kota Belud hinggalah ke Sipitang di kalangan orang-orang tua. Tetapi tidak pernah dinyatakan, dikaji oleh pihak Arkib dan Muzium Sabah. Mengapa? Sedangkan ini juga salah satu satu sejarah dan keunikan kisah disebelah Pantai Barat Sabah, khususnya berdekatan Kota Kinabalu. Adalah lebih elok cerita-cerita seperti ini dan bukti-bukti cerita ini dipelihara oleh pihak yang berwajib. Takkanlah benda-benda begini boleh mengancam kerajaan.
putatankini berkata
Sabar saudara. Sebab itu diwujudkan Putatan Kini untuk kita sama-sama dengar cerita orang-orang tua selagi hayat mereka masih ada. Betul atau salah cerita tersebut tertakluk kepada berapa ramai yang tahu dan boleh mengesahkan ceritanya.