Putatan Kini

Mencabar minda dan aspirasi rakyat Putatan

Arkib bagi Kategori ‘Umum’

Kategori umum yang tidak dapat dikategorikan.

Mengenali Pokok Putat

Posted by putatankini di Mei 24, 2008

Terlebih dahulu Putatan Kini ingin mengucapkan terima kasih kepada Rampaiseri kerana mengizinkan artikel dalam blognya untuk dipaparkan dalam Putatan Kini khasnya rakyat Putatan untuk mengenali dengan lebih dekat akan pokok putat ini.

Mengikut maklumat yang diperolehi, pokok putat boleh diproses sebagai ubat cacar air, gatal dan resdung.

Berbeza dengan ubat-ubatan farmasi yang mana setiap jenis selalunya hanya digunakan untuk mengubati penyakit tertentu, kebanyakan pokok-pokok herba boleh menjadi penawar kepada banyak penyakit.

Cara penggunaan atau perubatan menggunakan pokok-pokok herba boleh disesuaikan mengikut keperluan dan keserasian pesakit serta jenis-jenis penyakit yang dihidapi.

Misalnya pokok putat mempunyai kelebihan kerana pucuk, daun matang, buah dan kulit batangnya masing-masing ada khasiat tersendiri.

Pucuknya boleh menjaga dan memulihara kulit, buahnya untuk menyembuhkan atau mengurangkan gatal-gatal manakala daunnya untuk mengubati cacar air dan kulit batangnya pula bagi mengurangkan komplikasi resdung.

Bagaimanapun, pokok putat atau nama saintifiknya Barringtonia Racemosa agak sukar ditemui kecuali di lembah-lembah, tepi sungai dan kawasan tanah lembap.

Pegawai Pusat Sumber Genetik Tumbuhan, Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM), En.Tajuddin Abdul Manap memberitahu, ulam pucuk putat mampu memulihara kulit daripada penyakit gatal.

Buahnya pula yang mempunyai rasa kelat perlu dikopek dan dihiris-hiris sebelum dimakan begitu saja atau dibuat sambal.

“Buah putat ini juga mencegah serangan gatal-gatal di samping boleh mengubati beberapa penyakit kulit lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kata beliau, untuk mendapatkan khasiat daun putat, lima atau enam keping daun perlu ditumbuk bersama-sama beras terlebih dahulu sebelum dipupuk atau disapu pada bahagian yang terkena cacar air.

“Ia perlu diamalkan beberapa kali setiap hari bagi mempercepatkan tempoh matang atau `masak’ cacar air di samping mengelakkan ia merebak ke seluruh badan,” ujarnya.

Sementara itu, En.Tajuddin menambah, kulit batang putat perlu dikopek dalam ukuran sebesar kotak rokok dan kemudian dijemur sehingga kering sebelum dibakar.

“Kulit pokok ini perlu dibakar sedikit demi sedikit dan pesakit resdung kemudian bolehlah menyedut asap daripada kulit putat yang dibakar itu sehingga mereka merasakan hendak terbersin.

“Dengan menyedut asap daripada kulit putat untuk beberapa ketika, pesakit resdung akan merasakan air lendir keluar dari hidung mereka,” jelasnya.

Dikirim dalam Umum | Di tag: , , , , | 2 Komen »

Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS)

Posted by putatankini di April 30, 2008

Permohonan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah telah pun ditutup pada 25hb.April 2008 yang lalu. Pada mereka yang telah memohon BKNS, mereka akan menunggu jawapan sehingga 3 bulan daripada tarikh tutup samada mereka mendapat tajaan biasiswa atau tidak. Jika berjaya, jumlah biasiswa yang diluluskan adalah tertakluk kepada budibicara Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS). Siapa yang tahu formula budibicara kelulusan ini amatlah dialu-alukan.

Soalannya, mengapakah pemohon perlu menunggu sehingga 3 bulan untuk jawapan samada mereka mendapat tajaan atau tidak? Tuan-tuan sedia maklum bahawa permohonan BKNS ini adalah dengan membeli borang BKNS dengan membayar RM1.00 setiap borang yang boleh diperolehi daripada JPANS atau Pejabat Daerah. Dalam era ICT ini, Kerajaan Negeri Sabah juga mempunyai rangkaian aplikasi ICT yang terbaik. Cuma jika dibandingkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), JPANS agak jauh ketinggalan. Setelah keputusan SPM diumumkan, JPA dan MARA memaklumkan bahawa pelajar-pelajar lepasan SPM dijemput memohon biasiswa JPA atau MARA melalui online di http://www.jpa.gov.my.

Tahukah anda berapa lama pemohon menunggu? Tidak sampai 2 minggu. Kenapa? Tak percaya?

Tanyalah mereka yang pernah memohon tajaan JPA atau MARA online. Sekurang-kurangnya pemohon tidak ternanti-nanti atau berkecilhati mendapat tahu mereka tidak mendapat tajaan setelah menunggu 3 bulan.

Kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, bila lagi hendak menggunakan teknologi ICT untuk mengurangkan penantian yang belum pasti?

Dikirim dalam Umum | Di tag: , , , , , | 8 Komen »

Putatan dinaik taraf ke Majlis Daerah?

Posted by putatankini di April 3, 2008

Pekan Putatan telah digazetkan sebagai sebuah daerah kecil gred V mulai 1hb Januari 1997 oleh Kerajaan Negeri Sabah dan telah diumumkan secara rasmi pada 18hb Mac 1997 oleh YAB Datuk Yong Teck Lee, Ketua Menteri Sabah pada masa itu.

Sejak diumumkan sebagai sebuah daerah kecil di bawah seliaan Majlis Daerah Penampang, berbagai pembangunan telah dilaksanakan dan bertambah sibuklah saban hari. Selain rakyat Putatan, kesesakan jalanraya amat dirasai juga oleh mereka yang tinggal di luar kawasan Putatan. Dengan pembesaran lapangan terbang antarabangsa Kota Kinabalu dekat Petagas, maka dijangka kawasan Putatan akan bertambah sibuk.

Soalan terbuka kepada Wakil Rakyat Putatan ialah bila agaknya kesesakan jalan raya dapat diatasi atau dapat dikurangkan?

Dalam kesibukan pembangunan daerah kecil Putatan, telah kedengaran bahawa sudah sampai masanya Daerah Kecil Putatan dinaik taraf sebagai sebuah majlis daerah penuh iaitu Majlis Daerah Putatan. Sehingga desas-desus ini diperolehi, belum diputuskan lagi bila ianya akan dilaksanakan. Sekiranya berita baik ini benar, maka Putatan sebagai sebuah Majlis Daerah penuh amatlah dialu-alukan.

Namun dalam kegembiraan menunggu berita baik ini, mungkin ada juga pihak yang kurang senang atau kurang setuju dengan cadangan menaik taraf Daerah Kecil Putatan. Mungkin juga antara alasannya ialah kerana tidak tahu di manakah sempadan Majlis Daerah Putatan yang akan dicadangkan.

Apa pun alasannya, kita harapkan agar rakyat Putatan sabar menanti.

Dikirim dalam Umum | Di tag: , , | 4 Komen »

Helo Putatan!

Posted by putatankini di Mac 27, 2008

Selamat datang ke Putatan Kini. Sebuah blog yang dilahirkan untuk tatapan rakyat Putatan dan Wakil Rakyat Putatan, serta sesiapa sahaja yang ingin membaca atau memberi sumbangan untuk mengisi blog ini.

Blog yang dilahirkan pada 27hb Mac 2008 ini menjemput para pembaca blog untuk memberi apa cadangan kepada isi blog ini agar rakyat Putatan sama-sama mendapat menafaatnya.

Harap maklum bahawa cadangan berbentuk spam tidak akan dilayan.

Terima kasih.

Putatan Kini

Dikirim dalam Umum | Di tag: , | 2 Komen »

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.