Putatan Kini

Mencabar minda dan aspirasi rakyat Putatan

Posts Tagged ‘Sultan Hussin Kamaluddin’

Cerita benar di sebalik pembinaan landasan keretapi di Putatan (2)

Posted by putatankini di Mei 24, 2008

Lanjutan daripada kisah benar di sebalik pembinaan landasan keretapi di Putatan, berikut adalah tambahan kepada cerita tersebut mengikut sumber yang diperolehi Putatan Kini.

Telah diceritakan orang-orang tua bahawa mandor yang menyelia pekerja-pekerja landasan keretapi di situ bernama En.Perdi yang berbangsa Jawa. Dia amat menghormati setiap kisah-kisah tempatan di sepanjang landasan keretapi pada masa itu dan selalu menasihati pekerja-pekerja bawahannya untuk tidak membuat perkara-perkara yang melanggar pantang-larang.

Maka tersebutlah kisah pembinaan landasan keretapi dekat Makam Al-Marhum Pangeran Anak Untung ibni Al-Marhum Sultan Hussin Kamaluddin, diantara ceritanya seperti berikut:

Dahulunya, atap makam tersebut tertutup berbanding keadaannya sekarang iaitu agak terbuka di bahagian tengahnya. Semasa hujan turun, pekerja-pekerja berkenaan akan berteduh di bawah pokok-pokok yang rendang berdekatan dengan makam tersebut. Salah seorang pekerja berbangsa Cina, ingin berteduh di bawah atap tersebut walaupun ditegah oleh En.Perdi untuk tidak meneruskan niatnya. Kata pekerja tersebut tidak ada apa-apa yang perlu ditakuti kerana dia sudah biasa duduk dekat kubur yang beratap. En.Perdi mengatakan bahawa kubur ini bukan sebarangan kubur dan tidak boleh angkuh atau sombong. Pekerja tersebut tidak mengendahkan nasihat En.Perdi sehinggalah hujan teduh. Bila pekerja berkenaan pulang ke rumahnya, beliau merasa sakit di bahagian duburnya dan didapati keadaan “isi dubur”nya terkeluar bergantung.

Beliau kemudiannya meminta dirawat kesakitannya tetapi setiap kali ia dirawat, “isi dubur”nya bertambah panjang gantungannya. Teringat akan nasihat En.Perdi tempohari kerana berteduh di makam tersebut semasa hujan, beliau kemudiannya kembali ke makam tersebut memohon maaf. Apabila kembali semula ke rumahnya, beliau dapati “isi dubur”nya sudah susut dan kembali ke asalnya.

Suatu hari, Ketua Penyelia Penyelenggaraan Landasan Keretapi yang lebih dikenali sebagai Tuan Kudung pada masa itu, ingin membuat rondaan penyelenggaraan landasan keretapi mulai daripada Kota Kinabalu. Beliau telah dinasihatkan agar berhati-hati oleh En.Perdi apabila tiba dekat Makam Al-Marhum Pangeran Anak Untung ibni Al-Marhum Sultan Hussin Kamaluddin supaya tidak melanggar apa-apa pantang larang. Tuan Kudung menaiki trolinya seorangan dan bergerak ke arah selatan.

Bila menghampiri makam tersebut, beliau dapati banyak burung-burung terkukur di atas pokok-pokok dan ada juga yang hinggap di atas batu nisan kubur-kubur di situ. Beliau memilih untuk menembak salah satu burung terkukur yang hinggap di atas batu nisan makam tersebut. Yang peliknya, senapang yang digunakan untuk menembak gagal berfungsi. Sebaliknya, bila beliau menembak ke burung-burung terkukur di atas pokok, senapang tersebut berfungsi. Bila diacukan senapangnya semula ke arah burung terkukur di atas batu nisan di makam tersebut, sekali lagi senapang tersebut gagal berfungsi.

Tuan Kudung kemudiannya tidak meneruskan rondaannya. Sebaliknya beliau terus balik ke pejabat dan menceritakan kepada En.Perdi. Diantara ceritanya ialah jari-jari tangannya terasa kebas bila hendak menembak burung terkukur di atas batu nisan dan senapang gagal berfungsi. Jari-jari Tuan Kudung masih terasa kebas sehingga kelihatan hendak reput. Keadaan tersebut bertambah teruk apabila ibu jari tangan kanannya terlalu reput sehingga kudung. Jari-jarinya yang lain masih sakit dan kelihat bertambah reput.

Melihat keadaan demikian, En.Perdi menasihatkan agar Tuan Kudung pergi semula ke makam tersebut untuk memohon maaf. Tuan Kudung berbuat demikian seperti yang dinasihatkan dan yang peliknya, kebas di jari-jarinya yang belum kudung kembali sihat dan tidak reput.

Sehingga hari ini Makam Al-Marhum Pangeran Anak Untung ibni Al-Marhum Sultan Hussin Kamaluddin tidak boleh dipermainkan oleh mana-mana pihak yang ingin mencuba keramat atau nasibnya.

Sebagaimana ayahandanya Sultan Hussin Kamaluddin Sultan Brunei Ke-16 yang Marhum di Luba, Brunei yang terkenal dengan keramatnya seperti menukar buah ngirih ke buah pitabu, Pangeran Anak Untung juga terkenal dengan keramatnya yang tersendiri.

Masih tidak percaya atau anda ingin mencuba? Tanyalah pekerja-pekerja Keretapi Negeri Sabah atau kampung-kampung di sekitar Dumpil Meruntum untuk kesahihan cerita ini.

Posted in Sejarah | Di tag: , , , , , , , , , , , | 2 Comments »