Putatan Kini

Mencabar minda dan aspirasi rakyat Putatan

Jejak lokasi asal aliran Sg.Putatan

Posted by putatankini di Jun 18, 2008

Umum sudah mengetahui bahawa Sg.Putatan (mati) yang mengalir di tengah Kampung Hulu Putatan dan Kampung Seberang Putatan, Kampung Teguli dan Kampung Tobongon sehingga ke kualanya, telah lama dimatikan puncanya di Kampung Terawi. Aliran sungai ini akhirnya menjadi sempit dan dipenuhi semak dan ada juga yang telah ditimbus dengan tanah terutamanya di Kampung Hulu Putatan dan di Kampung Terawi. Antara sebab punca aliran Sg.Putatan (mati) dimatikan adalah untuk mengelakkan kampung-kampung yang berdekatan dengan sungai tersebut menghadapi masalah banjir. Untuk suatu ketika, sekatan ini agak berkesan sehinggalah terjadinya Ribut Greg yang mana air dari Sg.Petagas telah naik melimpah ke sawah padi dan mengalir ke arah Sg.Putatan (mati) untuk mengalir ke arah laut. Namun, disebabkan aliran Sg.Putatan (mati) telah disekat, maka banjir pun berlaku di kampung-kampung yang terletak berdekatan dengan Sg.Putatan (mati).

Untuk mengelak kejadian seumpamanya berlaku, aliran sungai baru dibuat mulai daripada Kampung Terawi hingga ke kuala Sg.Putatan (lokasi sekarang ini). Namun aliran ini masih tertutup puncanya di Kampung Terawi atas sebab-sebab masalah teknikal seperti bayaran pampasan ke atas tanah yang digunakan oleh Kerajaan Sabah untuk mengubah aliran Sg.Putatan (mati). Aliran sungai yang melalui kampung-kampung berdekatan dengan sungai pada masa kini semakin cetek, tersekat dan tertimbus serta bersemak.

Kepada generasi baru yang tinggal di kampung-kampung berdekatan dengan Sg.Putatan (mati), diketahui tidak ramai yang mengetahui asal-usul aliran sungai ini. Hanya mereka yang bertanya orang-orang tua boleh mengetahui kisahnya. Generasi sekarang yang berumur sekurang-kurangnya lewat 40an ke atas mungkin masih ingat akan Sg.Putatan (mati) pada masa itu menyumbang kepada urusan ekonomi kampung seperti nelayan dan membawa barang-barang jualan ke Pekan Putatan (baru).

Namun kisah aliran Sg.Putatan (mati) tidak terhenti di sini sahaja. Mari kita berjumpa sekurang-kurangnya mereka yang berumur lewat 40an dan bertanya samada mereka pernah bersekolah berjalan kaki ke Sekolah Rendah Buit Hill dari Pekan Putatan (baru) atau kampung-kampung diantaranya. Tentunya mereka ini pernah melalui sebuah jambatan kayu yang terletak antara Bukit Kalam (tempat Memorial Tun Mustapha) dan Kedai Gumpita. Jambatan ini telah tiada setelah jalanraya Putatan-Ramayah dibuat serta diluruskan selekohnya di sebalik Bukit Kalam. Lokasi asal jambatan kayu ini berada di grid GPS 5°53’52″N, 116°3’42″E. Jambatan kayu inilah diantara jambatan awal yang menyeberangi Sg.Putatan yang asal. Mengikut cerita orang-orang tua, sungai yang mengalir antara Kampung Terawi ke kuala Sg.Putatan (sekarang ini) melalui Kampung Hulu Putatan dinamakan Sg.Terawi, yang pada asalnya hanyalah cetek sehinggalah aliran Sg.Putatan (asal) disekat. Oleh kerana ramai penduduk mengenali Sg.Putatan (mati) lebih daripada Sg.Terawi, maka nama Sg.Putatan (mati) lebih “melekat” nama sungainya hingga sekarang. Mungkin juga disebabkan oleh kedudukan Pekan Putatan (baru) yang telah berpindah daripada lokasi asalnya di grid GPS 5°54’30″N , 116°2’47″E.

Mari kita bermula di Kampung Terawi untuk mendapatkan lokasi grid GPS punca Sg.Putatan (asal) iaitu di 5°53’51″N , 116°4’38″E.  Setelah mengalir berliku-liku melalui Kampung Terawi dari arah timur, anda akan sampai ke cabang sungai di grid GPS 5°53’48″N , 116°3’54″E. Mengikut cerita orang-orang tua, cabang sungai ini adalah cabang Sg.Terawi dan Sg.Putatan (asal). Kita ikut aliran Sg.Putatan (asal) daripada cabang ini ke arah jambatan kayu yang saya nyatakan di atas. Jarak antara jambatan kayu dan Sg.Petagas adalah lebihkurang 1.5km. Diantara dua lokasi ini adalah pada asalnya kawasan paya tanah rendah yang dinamakan Kaundungan yang juga merupakan aliran sungai kecil serta Sg.Putatan (asal) yang mengalir ke arah timur-timur-laut dari jambatan kayu. Kaundungan bermakna “air dalam” dan amat sesuai dengan keadaan Sg.Putatan (asal) pada masa itu. Kawasan paya Kaundungan ini juga banyak ditumbuhi pokok-pokok putat. Aliran Sg.Putatan (asal) ini kemudiannya membelok ke arah barat di penghujung tanah tinggi Sodomon pada grid GPS 5°54’14″N , 116°3’53″E.

Sodomon bermakna “tanah tinggi” tetapi orang-orang tua mengatakan kawasan ini agak sederhana sahaja tingginya yang tidak dilimpahi banjir jika berlaku hujan lebat. Mengikuti aliran Sg.Putatan (asal) berliku ke arah barat, kita akan sampai di tepian tanah tinggi Sodomon di grid GPS 5°54’17″N , 116°3’35″E  seterusnya membelok ke arah tepian tanah tinggi Sodomon di grid GPS 5°54’25″N , 116°3’23″E  dan sampai di sempadan Kampung Sindil (pada masa ini) di grid GPS 5°54’24″N , 116°3’7″E. Lokasi ini tidak jauh daripada rumah seorang bernama Imam Milin yang tinggal di Kampung Sindil.

Seterusnya, aliran Sg.Putatan (asal) menuju ke arah Bukit Pandan-Pandan melalui berdekatan rumah Halik Zaman pada grid GPS 5°54’26″N , 116°2’55″E dan ke arah Bukit Linsuk (sebelah barat-daya Bukit Pandan-Pandan) di mana sebuah lagi bekas lokasi jambatan kayu Linsuk di grid GPS 5°54’21″N , 116°2’45″E wujud menyeberangi Sg.Putatan (asal) pada masa lalu. Mengikut cerita orang-orang tua, jambatan kayu Linsuk inilah yang menghubungkan penduduk sebelah selatan Sg.Putatan (asal) yang hendak menuju ke Pekan Putatan (lokasi asalnya berdekatan sebelah timur-laut Bukit Pandan-Pandan iaitu di grid GPS 5°54’30″N , 116°2’47″E). Bukit Pandan-Pandan dan Bukit Linsuk hanyalah bersebelahan sahaja. Ada juga orang-orang tua mengatakan bahawa Bukit Pandan-Pandan dan Bukit Linsuk merupakan bukit yang sama. Cuma yang dinamakan Bukit Pandan-Pandan kerana suatu masa dulu tempat ini terdapat banyak pokok-pokok pandan.

Daripada jambatan kayu Linsuk ini, aliran Sg.Putatan (asal) menuju ke arah barat-daya sehingga liku terakhir di grid GPS 5°53’56″N , 116°2’19″E  sebelum ke kualanya di grid GPS 5°54’0″N , 116°2’5″E.

Seperti yang diceritakan dalam Putatan Kini, kuala Sg.Putatan (asal) ini pada dahulunya juga dikenali sebagai Kuala Sg.Dumpil. Sg.Putatan (asal) dan Sg.Dumpil juga ada kaitannya iaitu kedua-duanya adalah sungai yang sama ,juga dengan alirannya, sebagaimana berlakunya aliran yang sama untuk Sg.Moyog, Sg.Penampang dan Sg.Petagas daripada puncak Gunung Bongkok. Tidak jauh daripada tempat ini juga terletaknya Tanjung Dumpil yang amat dikenali sebagai lokasi cerapan melihat anak bulan Ramadan dan anak bulan Syawal. Di Tanjung Dumpil ini jugalah didirikan peralatan aras-tanda GPS Malaysia.

Peredaran zaman berlalu, kawasan tanah rendah Kaundungan yang berpaya akhirnya tiada mendapat aliran Sg.Putatan (asal) lalu menjadi sebuah kawasan yang sesuai untuk bersawah padi serta tempat mengembala kerbau. Memang terdapat kisah petani sawah yang menggunakan sampan untuk menuai padi bila kawasan Kaundungan dibanjiri.

Kawasan tanah tinggi Sodomon pula sehingga kini tidak ditanam padi kecuali yang bertepian dengan tanah rendah Kaundungan. Pokok-pokok putat hanya tinggal beberapa pokok sahaja sebagai kenangan asal-usul nama Pekan Putatan (asal). Yang menjadi ingatan sehingga kini ialah, apabila hujan terlalu lebat, kawasan Kaundungan akan dinaiki air dan kekadang melimpah hingga ke Sg.Putatan (mati).

Cerita sejarah lokasi asal aliran Sg.Putatan (asal) ini telah diperolehi daripada orang-orang tua yang berumur 80an ke atas dan yang telah meninggal dunia tetapi sempat menceritakan kepada anak-anak dan cucu-cucu mereka. Sebagai panduan, seorang cucu tentunya sempat bertemu dengan datuknya, yang mana datuknya juga tentu dapat menceritakan apa yang telah diceritakan oleh datuknya juga. Dengan lain perkataan, cerita terdahulu sehingga 6 atau 7 generasi awal (atau ke belakang) yang akan membawa kita ke tahun lebih kurang 1700an.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: