Putatan Kini

Mencabar minda dan aspirasi rakyat Putatan

Arkib bagi Kategori ‘Tempat menarik’

Tempat-tempat yang menarik di Putatan.

Cerita benar di sebalik pembinaan landasan keretapi di Putatan

Posted by putatankini di April 3, 2008

Sesiapa yang belum pernah menaiki satu-satunya keretapi negeri Sabah melintasi Putatan tentunya rasa menyesal. Tahukah anda cerita di sebalik pembinaan landasan keretapi negeri Sabah yang melintasi Putatan? Kepada mereka yang pernah bekerja membina landasan keretapi semasa pemerintahan British sekitar awal tahun 1900an tentunya akan tahu cerita ini.

Mengikut cerita, pembinaan landasan keretapi bermula daripada Weston (?) ke utara hingga ke Jesselton (kemudiannya dinamakan Api-Api, yang sekarangnya dinamakan Kota Kinabalu). Pembinaan landasan keretapi berjalan lancar sehinggalah sampai ke kawasan yang dikata “keramat” dekat Ketiau. Pembinaan landasan tidak dapat diteruskan kerana ada sebuah kuburan yang tidak dapat dialihkan oleh pekerja pada masa itu. Apabila Resident British pada masa itu bertanya kepada pekerja mengapa tidak teruskan pembinaan, pekerja-pekerja berkenaan mengatakan bahawa ada sebuah kubur yang tidak dapat dialihkan atau dipindahkan. Bila Resident British bertanya lanjut, pekerja-pekerja berkenaan mengatakan bahawa kubur itu adalah jenis keramat dan tidak boleh diganggu. Jika diganggu tanpa sebab, takut nanti ada perkara yang tidak disenangi akan berlaku.

Oleh kerana Resident British tidak mempercayai atau memperkecilkan keramat pada masa itu, maka dengan sombongnya beliau menyahut cabaran pekerja dengan membuang air kecil ke atas batu nisan di kuburan tersebut. Mengikut cerita, beberapa hari kemudian, Resident British menghidap kepayahan untuk membuang air kecil. Setelah diperiksa oleh pihak perubatan masa itu, dimaklumkan bahawa bahagian alat sulit Resident British telah bengkak dan semakin membesar. Berbagai usaha perubatan dibuat tetapi bengkak masih tidak susut.

Mengingati peristiwa Resident British membuang air kecil di kuburan, maka pekerja landasan keretapi mencadangkan kepada beliau untuk meminta ampun maaf kepada keramat tersebut dengan menyembelih seekor kambing dekat kuburan tersebut dan dagingnya diagihkan kepada pekerja-pekerja yang menghormati keramat berkenaan. Setelah memohon ampun maaf, akhirnya bengkak di bahagian alat sulitnya susut. Lanjutan daripada pengajaran itu, Resident British mengarahkan pengalihan laluan landasan agar tidak “melanggar” kuburan itu. Setelah dialihkan, pembinaan landasan keretapi berjalan lancar sehinggalah perkhidmatan keretapi dapat diadakan.

Untuk makluman anda, kuburan keramat yang dimaksudkan adalah Makam Al-Marhum Pangeran Anak Untung ibni Al-Marhum Sultan Hussin Kamaluddin yang dikatakan masih berdaulat pada masa itu.

Cerita benar ini tidak dicatat dalam sejarah pembinaan keretapi di Negeri Sabah mahu pun dalam sejarah British kerana mungkin malu. Mengikut sumber, cerita ini ada dicatatkan dalam buku bertajuk “The Making of Railway in North Borneo”. Malangnya, kewujudan buku ini tidak dapat dikesan atau diperolehi.

Dikirim dalam Sejarah, Tempat menarik | Di tag: , , , | 1 Komen »

Misteri Memorial Tun Mustapha

Posted by putatankini di April 3, 2008

Memorial Tun Mustapha terletak di Kampung Ulu Putatan pada grid GPS 5º53’56”N dan 116º3’36”E di atas sebuah bukit bernama Bukit Kalam yang juga adalah antara tanah perkuburan orang-orang Islam Putatan.

Umum mengetahui bahawa Allahyarham Tun Datu Hj Mustapha bin Datu Harun adalah pengasas parti USNO, TYT Sabah yang pertama dan Ketua Menteri yang kedua. Terdapat banyak kisah sejarah mengenai beliau dan banyak juga kisah yang agak menarik mengenainya.

Dalam banyak tempat tanah perkuburan di Sabah, mengapakah tanah perkuburan Islam Putatan di Bukit Kalam menjadi tempat persemadian Allahyarham Tun Mustapha? Sedikit yang diketahui bahawa Bukit Kalam adalah salah satu kubu pertahanan yang digunakan oleh Paduka Mat Salleh dalam serangan ke atas tentera British di Pulau Gaya. Semasa serangan hebat tentera British di Pulau Gaya, Paduka Mat Salleh berhijrah di antara Bukit Kalam dan Pulau Gaya untuk mengatur serangan selanjutnya, sehinggalah beliau mengundur diri dari Pulau Gaya kembali semula ke kubu beliau di Bukit Kalam.

Yang tidak tercatit dalam sejarah ialah, semasa beliau berada di Bukit Kalam, beliau dibantu oleh Pangeran Ahmad bin Pangeran Daud yang memerintah Tanah Tulin Dumpil Meruntum (TTDM) pada masa itu. Pihak British yang tidak mempunyai kuasa ke atas TTDM (kerana tidak pernah disewa atau dipajak kepada British) tidak boleh berbuat apa-apa kepada Paduka Mat Salleh yang kemudiannya berhijrah ke Pendalaman Sabah setelah berehat seketika dan pulih daripada kecederaan. Selain kubu di Bukit Kalam, Bukit Mantukod (yang sekarang ini dinamakan Pulau Mantukod) juga merupakan antara kubu kuat TTDM pada masa itu.

Apakah kaitan Allahyarham Tun Mustapha dan Paduka Mat Salleh? Daripada sumber cerita orang tua-tua, kononnya Allahyarham Tun Mustapha adalah anak kepada Paduka Mat Salleh. Yang bernama Datu Harun itu adalah ayah angkatnya sahaja yang di”BIN”kan untuk mengaburi pihak British dan pihak musuhnya agar keturunan Paduka Mat Salleh terus hidup sekiranya Paduka Mat Salleh ditewaskan atau dibunuh.

Apakah benar cerita orang tua-tua ini? Hanya melalui ujian DNA sahaja soalan ini boleh terjawab. Masalahnya, di manakah jenazah sebenar Paduka Mat Salleh dikebumikan? Adakah jenazah sebenar Paduka Mat Salleh dikebumikan di Bukit Kalam tanpa tanda?

Dikirim dalam Tempat menarik | Di tag: , , , | Leave a Comment »

Menjejak Sejarah Kedatangan Islam ke Pantai Barat Sabah

Posted by putatankini di April 3, 2008

Terdapat banyak pintu masuk kedatangan Islam di negeri Sabah. Diantaranya ialah melalui Kuala Sungai Dumpil yang terletak pada grid GPS 5º54’0”N dan 116º2’5”E.

Kenapa? Tak percaya?

Tercatit dalam sejarah Sabah bahawa Islam tiba di Pantai Barat Sabah pada awal tahun 1900an. Namun ada beberapa masjid yang telah dibina pada awal tahun 1800an. Diantaranya ialah Masjid Kampung Ulu Putatan yang dibina sekitar awal tahun 1800an yang juga antara masjid tertua yang masih wujud di Putatan. Samada Masjid Kampung Ulu Putatan ini adalah yang tertua di Sabah berbanding dengan Masjid Hasabollah at-Tahiri di Sandakan yang dibina pada lewat tahun 1800an, hanya ujian ”carbon dating” sahaja yang boleh mengesahkan usianya.

Apakah kaitan Masjid Kampung Ulu Putatan dan Kuala Sungai Dumpil?

Mengikut ceritanya, pada awal tahun 1730an seorang pemuda bernama ”Dumpil” bersama rakannya bernama Qutub tiba daripada Brunei telah sampai ke sebuah kuala sungai (Sungai Dumpil) dan mendapati kawasan tersebut amat hijau dan kurang berpenghuni. Setelah mendayung mengikut sungai, beliau tiba di Bukit Kalam, Putatan untuk persinggahan. Sungai yang dilalui ini bertemu dengan Sungai Putatan di belakang bukit tersebut. Oleh kerana kedua-dua sungai tersebut datang daripada satu punca sungai daripada Gunung Bongkok, maka beliau menyusur mengikut arus keluar Sungai Putatan dan mendapati sebuah kawasan lapang tidak jauh daripada Bukit Kalam yang sesuai dengan tanaman seperti bersawah padi. Kawasan tersebut sekarang dikenali sebagai Kampung Ulu Putatan dan menjadi lokasi yang sesuai untuk mendirikan perkampungan.

Siapakah pemuda bernama ”Dumpil” tersebut? Mengikut cerita, beliaulah orang pertama bergelar diri sebagai Raja Dumpil di Sabah selain daripada Kesultanan Brunei pada masa itu iaitu Sultan Hussin Kamaluddin. Mengikut cerita, Sultan Hussin Kamaluddin pernah datang ke Sabah semasa pemerintahannya setelah mendengar khabar bahawa ada seorang Raja di Sabah yang memerintah sebuah kawasan walaupun Sabah ketika itu berada di bawah Kesultanan Brunei. Setelah menyamar diri, didapati bahawa orang yang bernama Raja Dumpil itu adalah anaknya sendiri iaitu Pangeran Anak Untung. Sultan Hussin Kamaluddin kemudiannya kembali ke Brunei tanpa ragu.

Makam Allahyarham Pangeran Anak Untung ibni Al-Marhum Sultan Hussin Kamaluddin berada di lokasi grid GPS 5º52’45”N dan 116º3’1”E adalah bukti sejarah kedatangan Islam di Putatan sekitar awal 1730an.

Sebagai rekod, rakan Pangeran Anak Untung iaitu Qutub atau bergelar Pendekar Qutub, disemadikan di Bukit Mantukod (sekarang dipanggil Pulau Mantukod).

Kuala sungai yang tidak dikenali pada masa kedatangan Pangeran Anak Untung juga telah dinamakan sebagai Kuala Sungai Dumpil. Peta awal British lewat tahun 1800an menunjukkan sebuah tempat bernama Dumpil Point wujud dalam peta Sabah pada masa itu.

Pengkaji sejarah kedatangan Islam ke Sabah amat dialu-alukan untuk mengesahkan kesahihan maklumat ini untuk menjawab bila sebenarnya kedatangan Islam di Pantai Barat Sabah.

Dikirim dalam Tempat menarik | Di tag: , , , | 3 Komen »

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.