Putatan Kini

Mencabar minda dan aspirasi rakyat Putatan

Menjejak Sejarah Kedatangan Islam ke Pantai Barat Sabah

Posted by putatankini di April 3, 2008

Terdapat banyak pintu masuk kedatangan Islam di negeri Sabah. Diantaranya ialah melalui Kuala Sungai Dumpil yang terletak pada grid GPS 5º54’0”N dan 116º2’5”E.

Kenapa? Tak percaya?

Tercatit dalam sejarah Sabah bahawa Islam tiba di Pantai Barat Sabah pada awal tahun 1900an. Namun ada beberapa masjid yang telah dibina pada awal tahun 1800an. Diantaranya ialah Masjid Kampung Ulu Putatan yang dibina sekitar awal tahun 1800an yang juga antara masjid tertua yang masih wujud di Putatan. Samada Masjid Kampung Ulu Putatan ini adalah yang tertua di Sabah berbanding dengan Masjid Hasabollah at-Tahiri di Sandakan yang dibina pada lewat tahun 1800an, hanya ujian ”carbon dating” sahaja yang boleh mengesahkan usianya.

Apakah kaitan Masjid Kampung Ulu Putatan dan Kuala Sungai Dumpil?

Mengikut ceritanya, pada awal tahun 1730an seorang pemuda bernama ”Dumpil” bersama rakannya bernama Qutub tiba daripada Brunei telah sampai ke sebuah kuala sungai (Sungai Dumpil) dan mendapati kawasan tersebut amat hijau dan kurang berpenghuni. Setelah mendayung mengikut sungai, beliau tiba di Bukit Kalam, Putatan untuk persinggahan. Sungai yang dilalui ini bertemu dengan Sungai Putatan di belakang bukit tersebut. Oleh kerana kedua-dua sungai tersebut datang daripada satu punca sungai daripada Gunung Bongkok, maka beliau menyusur mengikut arus keluar Sungai Putatan dan mendapati sebuah kawasan lapang tidak jauh daripada Bukit Kalam yang sesuai dengan tanaman seperti bersawah padi. Kawasan tersebut sekarang dikenali sebagai Kampung Ulu Putatan dan menjadi lokasi yang sesuai untuk mendirikan perkampungan.

Siapakah pemuda bernama ”Dumpil” tersebut? Mengikut cerita, beliaulah orang pertama bergelar diri sebagai Raja Dumpil di Sabah selain daripada Kesultanan Brunei pada masa itu iaitu Sultan Hussin Kamaluddin. Mengikut cerita, Sultan Hussin Kamaluddin pernah datang ke Sabah semasa pemerintahannya setelah mendengar khabar bahawa ada seorang Raja di Sabah yang memerintah sebuah kawasan walaupun Sabah ketika itu berada di bawah Kesultanan Brunei. Setelah menyamar diri, didapati bahawa orang yang bernama Raja Dumpil itu adalah anaknya sendiri iaitu Pangeran Anak Untung. Sultan Hussin Kamaluddin kemudiannya kembali ke Brunei tanpa ragu.

Makam Allahyarham Pangeran Anak Untung ibni Al-Marhum Sultan Hussin Kamaluddin berada di lokasi grid GPS 5º52’45”N dan 116º3’1”E adalah bukti sejarah kedatangan Islam di Putatan sekitar awal 1730an.

Sebagai rekod, rakan Pangeran Anak Untung iaitu Qutub atau bergelar Pendekar Qutub, disemadikan di Bukit Mantukod (sekarang dipanggil Pulau Mantukod).

Kuala sungai yang tidak dikenali pada masa kedatangan Pangeran Anak Untung juga telah dinamakan sebagai Kuala Sungai Dumpil. Peta awal British lewat tahun 1800an menunjukkan sebuah tempat bernama Dumpil Point wujud dalam peta Sabah pada masa itu.

Pengkaji sejarah kedatangan Islam ke Sabah amat dialu-alukan untuk mengesahkan kesahihan maklumat ini untuk menjawab bila sebenarnya kedatangan Islam di Pantai Barat Sabah.

3 Respons to “Menjejak Sejarah Kedatangan Islam ke Pantai Barat Sabah”

  1. assalamualaikum.Saya mahu memberi komen mengenai web sabah ini.web ini amat memuaskan hati saya cuma kalau boleh nyatakan peta putatan,peta penampang dan lain-lain lagi.Dengan cara ini orang yang hendak merujuk tempat samaada jauh atau tidak memudahkan ia merancang laluan yang sesuai.Malah,memudahkan para pelajar untuk membuat folio yang amat memerlukan peta seperti yang dinyatakan diatas.
    Jadi,lebih baik jika perkara ini dilakukan…..

    sekian.terima kasih.wassalam.

  2. Wa’alaikumsalam dan terima kasih atas cadangan anda. Peta Putatan akan diusahakan. Walaubagaimana pun saya mencadangkan anda melayari laman Wikimapia di http://www.wikimapia.org dan masukkan carian “kuala sungai dumpil” ke dalam ruangan Search. Lokasi GPS seperti yang dicatat dalam laman Putatankini juga boleh dimasukkan untuk mengenalpasti lokasi sebenar. Diantara kebaikkan menggunakan Wikimapia atau pun Google Maps ialah anda boleh mengenalpasti lokasi berkenaan melalui udara/satelit dan ianya lebih baik daripada peta. Selamat mencuba.

  3. Ag.Semaun said

    Asalnya kuala Sg.Dumpil bukan di situ tapi jauh sedikit ke laut. Kalau tidak silap tempat bernama Dumpil Point atau Dumpil Rock. Setahu saya tidak ada orang yang bernama Raja Dumpil kecuali orang-orang dulu yang pandai-pandai mau beri gelaran. Gelaran sebenar ialah Raja Tamba Ruyung iaitu pangkat sebenar Pangeran Anak Untung semasa jadi pemerintah Tanah Tulen Dumpil Meruntum. Pasal itulah ayahandanya Sultan Hussin Kamaluddin datang melawat ke Tanah Tulen Dumpil Meruntum sambil menyamar untuk mengenalpasti siapa Raja Dumpil semasa pemerintahan Brunei pada masa itu. Setahu Sultan Hussin Kamaluddin, cuma ada Raja Tamba Ruyung dan bukan Raja Dumpil. Rakan Pangeran Anak Untung iatu Pendekar Qutub tidak dikebumikan di Bukit Mantukod tapi dikebumikan di Bukit Ampak-Ampak (sekarang Pulau Ampak-Ampak) iaitu anak bukit sebelum Bukit Mantukod.

Tinggalkan komen